Buat Lebih 60 Transaksi, Juruteknik Ditipu RM602,000

 

  

GEORGE TOWN - Seorang juruteknik berusia 57 tahun kerugian lebih RM602,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan sehingga 30 peratus keuntungan dalam tempoh seminggu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki tersebut membuat laporan pada 17 November lalu selepas menyedari tidak dapat mengeluarkan keuntungan dijanjikan walaupun telah membuat lebih 60 transaksi pembayaran ke dalam 36 akaun bank berbeza.

Menurutnya, kejadian bermula pada awal September lalu apabila mangsa terlihat iklan pelaburan saham di Facebook sebelum berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp dan dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan.

"Mangsa kemudian diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan tersebut. Pembayaran pertama sebanyak RM300 dibuat pada 5 September dan mangsa mendakwa menerima ‘keuntungan’ RM32,200 pada hari sama, menyebabkan dia menambah pelaburan sehingga RM200,000.

“Suspek mendakwa mangsa memperoleh keuntungan RM700,000, namun meminta bayaran cukai dan caj pemprosesan sebelum ia boleh dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, daripada 5 September hingga 11 November, mangsa membuat 62 transaksi berjumlah RM602,051.56.

"Mangsa mendakwa, setiap kali cuba mengeluarkan keuntungan, aplikasi terbabit memintanya membuat bayaran tambahan sehingga mangsa akhirnya menyedari ditipu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," ujarnya.

Azizee berkata, skim pelaburan dalam talian menawarkan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat adalah berisiko tinggi dan sering menjadi modus operandi 'scammer'.

"Orang ramai dinasihatkan membuat semakan di laman Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum menyertai apa-apa pelaburan, termasuk melalui portal Semak Sebelum Lebur.

"Masyarakat diminta berkongsi maklumat mengenai taktik penipuan terkini bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa," katanya lagi.

 

Ringkasan AI

  •      Juruteknik berusia 57 tahun kerugian lebih RM602,000 akibat skim pelaburan dalam talian
  •     Lebih 60 transaksi pembayaran dibuat ke 36 akaun bank berbeza tanpa dapat mengeluarkan keuntungan dijanjikan
  •     Mangsa terpedaya selepas melihat iklan di Facebook dan berhubung dengan seorang wanita melalui WhatsApp
  •     Suspek mendakwa mangsa memperoleh keuntungan RM700,000 tetapi meminta bayaran tambahan untuk cukai dan caj pemprosesan
  •     Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu
  •     Masyarakat dinasihatkan semak pelaburan melalui platform semakan rasmi

.

 

 

 

 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama